Kami

My photo
Perlis Indera Kayangan, Malaysia

Tuesday, 1 May 2012

Umat Islam Perlu Berjihad Untuk Tingkatkan Ekonomi, Titah Raja Muda



KANGAR, 23 Mac (Bernama) -- Umat Islam perlu melakukan transformasi positif dan berjihad ke arah meningkatkan taraf sosio ekonomi yang sejajar dengan tuntutan agama, titah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.

Menurut baginda dalam menghadapi persaingan ekonomi semasa, mereka perlu berjihad dalam perniagaan di samping mewujudkan 'wakaf korporat' sebagai institusi yang boleh membantu perkembangan ekonomi Islam.

Bertitah merasmikan seminar 'Jihad Bisnes dan Wakaf Korporat' di Masjid Al-Hussain, Kuala Perlis malam tadi, baginda yakin ekonomi umat Islam akan terus berkembang jika mereka turut menyertai transformasi itu.

Seminar itu dianjurkan bersama oleh Majlis Hal Ehwal Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) dan Dewan Perdagangan Islam Malaysia (DPIM).

Timbalan Presiden DPIM Tan Sri Muhamad Ali Hashim membentang kertas kerja bertajuk 'Jihad Bisnes dan Wakaf Korporat Pemangkin Ekonomi Ummah' pada majlis yang dihadiri umat Islam seluruh Perlis itu.

Sumber -- BERNAMA

Raja Muda Perlis Mahu Perlis Jadi Model Pengurusan Bencana

KANGAR, 25 Mac (Bernama) -- Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail mahu Perlis yang sering menjadi sasaran banjir menjadi negeri model bagi pengurusan bencana.

Baginda bertitah sebagai sebuah negeri yang terdedah kepada banjir, rakyat tidak boleh berdiam diri dalam menghadapi bencana, sebaliknya berusaha mempersiapkan diri dengan kaedah pengurusan bencana yang terbaik dan berkesan.

Ketika menutup Program Kesedaran Bencana peringkat Komuniti Negeri Perlis anjuran Majlis Keselamatan Negara (MKN) Perlis di Tasoh Lake Resort and Retreat dekat sini hari ini, baginda bertitah rakyat tidak seharusnya meletakkan tanggungjawab menguruskan bencana kepada kerajaan semata-mata.

"Rakyat juga perlu mengambil segala langkah dan usaha untuk membendung, mengurangkan kesan kemusnahan dan bagi mencapai hasrat untuk menjadi sebuah negeri maju," titah baginda.

Program dua hari itu disertai 450 peserta termasuk penduduk kampung Titi Tinggi Hilir, Sungai Buloh, Batu Bertangkup, Panggas Kecil, Panggas Besar serta Padang Melaka yang sering berhadapan dengan banjir.

Di samping kerajaan negeri, Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) dan Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) menggerakkan beberapa inisiatif bagi memberi kesedaran berkaitan bencana melalui ceramah di sekolah, kampung dan masjid.

Selain itu, YTSP juga memperkenalkan beberapa idea menghadapi bencana seperti penyediaan beg kecemasan dan catuan kecemasan kepada beberapa kampung yang sering dilanda banjir.

"Dengan adanya kit kecemasan ini, maka dapatlah semua mangsa banjir untuk bertahan hidup bagi tempoh jangkamasa terhad sebelum bantuan sebenar tiba," titah Tuanku Syed Faizuddin, yang juga Pengerusi YTSP.

Baginda bertitah kerajaan negeri dengan kerjasama Jabatan Kesihatan dan Persatuan Bulan Sabit Merah juga sedang menggiatkan usaha mewujudkan kumpulan pembantu kecemasan dalam setiap rumah dan tempat kerja manakala Persatuan Radio Amatur Perlis sentiasa melakukan penambahbaikan dalam usaha menangani bencana melalui aspek perhubungan.

Titah baginda bencana alam tidak boleh dielakkan tetapi rakyat boleh meminimumkan kadar korban jiwa dan kerosakkan melalui persiapan rapi bagi menghadapinya.

"Sudah sampai masanya kita bertindak secara bermentaliti kelas pertama dan matang dalam menangani bencana alam yang melanda negeri kita ini," titah baginda.

Sumber -- BERNAM
A