SI BIJAK DAN SI INVENTOR
Luqman Hakim adalah seorang genius yang disebut dalam al-Quran. Kisah beliau diabadikan dalam sebuah surah bernama Luqman, yang mengandungi 34 ayat.
Tuhan memaklumkan dalam ayat 12 surah Luqman,
"Sesungguhnya Kami telah memberi kepada Luqman, hikmat kebijaksanaan, (serta Kami perintahkan kepadanya) "Bersyukurlah kepada Allah (akan segala nikmatNya kepadamu)."
Apakah itu hikmah? Hikmah sering dikaitkan dengan sifat arif dan bijaksana. Ia dimiliki oleh orang berilmu, namun tidak semua orang berilmu memilikinya.
Menurut penulis Ruh al-Bayan, hikmah adalah ketepatan dalam memilih yang benar dengan lisan, ketepatan dalam berfikir dengan bantuan anggota badan dan ketepatan bergerak dengan anggota badan. Sekiranya berbicara, Luqman berbicara dengan hikmah. Sekiranya berfikir, beliau berfikir dengan hikmah dan sekiranya bergerak, beliau bergerak dengan hikmah juga.
Ramai orang bertanya kepadanya, "Daripada siapa tuan mempelajari hikmah?" Jawab Luqman,"Saya mempelajari hikmah daripada orang-orang bodoh, dan orang-orang bodoh. Saya melihat ada cacat pada diri mereka lalu saya berusaha menjauhinya."
Thomas Edison adalah seorang inventor yang berjaya mencipta mentol lampu pada tahun 1879. Sebelum itu 9999 cubaannya tidak berjaya. Namun kata beliau,"Saya tidak gagal. Saya berjaya menemui 9999 cara yang tidak menghasilkan mentol lampu." Dalam cubaannya yang ke-10,000 barulah mentol lampu beliau menyala.
Kata bijak pandai, kehebatan seorang pemikir terletak pada kemampuannya meneka dengan tepat hasil sesuatu tindakan. Itu adalah salah satu ciri hikmah. Sebab itulah pemikir yang hebat secara tepat sentiasa berjaya menghasilkan sesuatu. Bagaimanakah cara kita dapat meneka secara tepat apa yang akan berlaku? Salah satu caranya ialah melihat apa yang sudah berjaya dan apa yang tidak.
Namun dalam kes Thomas Edison, didapati ada lebih banyak cara yang tidak betul berbanding cara yang betul, dengan nisbah 9999:1.
Dalam hidup, boleh jadi yang lebih penting ialah berusaha meninggalkan apa-apa yang tidak betul, bukannya lebih mencuba apa-apa yang kita sangka betul.
Luqman Hakim menjadi bijak dengan melihat kebodohan pada orang lain dan kemudian berusaha tidak melakukannya. Beliau sudah melihat sesuatu yang bodoh, lalu berusaha supaya dirinya tidak mengulang kebodohan itu.
Dalam kes Thomas Edison, beliau juga tidak mengulang kesilapan. Namun 9999 kesilapan itu terpaksa dilaluinya sendiri terlebih dahulu. Boleh jadi sebelum itu, tiada sesiapa pernah cuba mencipta mentol lampu. Jadi Thomas Edison tidak dapat belajar daripada kesilapan orang itu. (Boleh jadi juga sebelum itu kitab cara-cara mencipta mentol lampu sudah ada, namun telah dibakar oleh orang-orang Mongol).
Apapun, Thomas Edison terpaksa menghabiskan masanya bagi melalui 9999 kesilapan sambil berusaha tidak mengulang 9999 kesilapannya sendiri itu. Sehinggalah pada suatu hari beliau berjaya menemui satu cara yang betul. Nasib baik usianya panjang. Beliau berjaya menyudahkan 10,000 eksperimen.
Nasib kita mungkin tidak sebaik Thomas. Boleh jadi tempoh usia kita tidak panjang. Maut sentiasa mengikut kita di belakang. Setiap hari ia semakin dekat. Masa kita semakin kurang, jadi kita perlu bijak memanfaatkan apa yang sedikit.
Meneladani Luqman Hakim, genius yang disebut dalam al-Quran, lebih baik kita belajar daripada orang, dengan tidak mengulanginya kebodohan mereka. Jangan juga kita jadi seperti Thomas Edison yang terpaksa belajar daripada kesilapannya sendiri.
Pada pendapat saya, boleh jadi itu antara kebaikannya alim ulamak menasihatkan kita supaya berguru dengan orang. Tidak cukup hanya berguru dengan buku.
Manusia itu sentiasa belajar. Guru yang terbaik sudah tentulah orang yang bijaksana dan berhikmah. Kerana mereka sentiasa belajar daripada kesilapan orang dan kesilapan mereka sendiri.
'Dean List' Kerana Allah
Setelah keputusan peperiksaan keluar, terdapatlah beberapa orang pelajar yang tidak mendapat markah yang diharapkan. Selepas selesai bermuhasabah, maka mereka berpendapat, belajar bukan kerana Dean list, tetapi belajar kerana Allah. Sekali saya memandang seperti tidak ada yang silap.Kehidupan sebagai seorang pelajar pastilah tidak dapat lari daripada peperiksaan. Apabila menyebut tentang peperiksaan, tidak dapat tidak, keputusan peperiksaan amatlah dititikberatkan. Sudah menjadi lumrah, yang mendapat markah tinggi itu bersalut kegembiraan dan mereka yang mendapat markah rendah berselubung duka.
Ya, benar! Belajar kerana Allah. Tidak ada yang silapnya di situ.
Matlamat yang disalahertikan
Bagi kebanyakkan pelajar tahun 1 di sini, dan saya percaya di mana-mana pun, semua orang akan meletakkan target, "Sekurang-kurangnya, Dean list". Saya juga pernah meletakkan target sedemikian.
Timbulnya pendapat seperti di atas membuat aku sedikit lega. Tak dapat Dean list pun tidak mengapa. Janji, aku belajar kerana Allah. Namun aku tertanya-tanya, salahkah belajar keranaDean list? Tidak bolehkah kita belajar kerana Allah dan dalam pada masa yang sama mendapat Dean list?
Pernah dikisahkan tentang seorang pemuda berperang kerana ingin mendapatkan bidadari. Maka timbul satu persoalan. Adakah dia berperang kerana Allah?
Ulama bersependapat mengatakan beliau berperang kerana Allah. Ini kerana, beliau yakin dengan balasan Allah janjikan iaitu balasan syurga dan bidadari. Berperang untuk menuntut janji-janji Allah.
Begitu jugalah dengan kita. Sunnatullah mengatakan mereka yang berusaha akan berjaya. Itu hukum alam. Syarat dan akibat. Mahukan akibat yang baik, ada syarat-syaratnya. Mahukan akibat yang kurang baik, ada syarat-syaratnya. Jadi bukankah mengejar kejayaan itu juga menunjukkan bahawa kita yakin dengan Allah? Percaya dengan sunnatullah?
Adakah mengejar kejayaan atau dalam konteks kita, Dean list adalah salah? Tidak kerana Allah?
Matlamat dan usaha
Tersebutlah kisah seorang pelajar yang terkejut dengan keputusan peperiksaan beliau. Maka terlintaslah dibenaknya, "Mesti aku belajar tidak ikhlas kerana Allah". Maka dibetulkan niatnya. Semester seterusnya keadaan yang sama berulang. Keputusan masih sama, tidak berubah. Maka hatinya berkata, "Mungkin aku tidak cukup ikhlas". Kehidupannya diteruskan seperti biasa. Tidak apa yang berubah.
Dimana silapnya?
Cara kita bermuhasabah. Muhasabah niat itu tidak salah. Cuma muhasabah niat sahaja tanpa diteliti usaha yang telah kita berikan itulah yang silap. Mungkin saja usaha yang kita letakkan sudah sangat hebat, sehebat rakan-rakan kita yang lain. Rakan-rakan yang cemerlang dan selalu mendapat tempat teratas. Tapi, cukupkah?
Manusia itu berbeza. Usaha yang perlu bagi mereka dan kita tidak sama. Andai masih gagal sedangkan sudah berusaha. Itu maknanya, usaha kita belum cukup. Masih ada ruang untuk berusaha.
Jangan sampai koreksi niat setiap hari , keputusan masih juga sama. Akhirnya Tuhan yang dipersalahkan. Usah kita lupa, sunnatullah yang Allah tetapkan. Kejayaan tidak datang tanpa usaha. Yang bulat tidak datang bergolek, yang pipih tidak datang melayang.
Kesimpulan
Mengejar kejayaan itu tidak salah. Malah Islam sendiri menggalakan umatnya mengejar kejayaan dunia dan akhirat. Yang tinggalnya cuma, kenapa kita mahu berjaya. Niatlah kerana Allah kerana dengan itu segala benda yang baik dikira ibadah. Niatlah untuk mendapat kejayaan, kerana kita ialah umat yang Allah muliakan kerana Islam
Belajar : Bagaimana Mendapatkan Keberkatan?
Sesuatu yang tidak boleh dilihat, tetapi dengan berkat itu, kita boleh berasa tenang dan bahagia sentiasa walaupun separuh dunia berada di bahu kita.Mungkin jarang antara kita yang tidak tahu tips-tips belajar daripada 'salafus soleh' terdahulu. Semua tahu bukan apa itu berkat?
TIPS:-
1) Sebelum belajar, niat bahawa aku belajar ini kerana Allah S.W.T.
Setiap kali mahu keluar bilik untuk pergi kuliah, sentiasa ingatkan diri, aku menuntut ilmu ni kerana Allah S.W.T. Banyak kelebihan bagi orang yang menuntut ilmu.
Jangan rasa tertekan jika kelas bermula seawal jam lapan pagi dan habisnya pula dalam pukul lima petang. Tetapi fikir bahawa sepanjang proses menuntut ilmu ini, Malaikat akan sentiasa mendoakan kita. Jadi, kita tidak akan rasa terlalu tertekan jika kelas itu tersangatlah lama.
2) Disiplinkan diri.
Setiap kali mahu study, mesti baca satu muka surat al-Quran sebelum bermula waktu study itu. Jadi, pasti kita tidak tinggalkan al-Quran walau sesibuk mana pun kita. Ustazah ada cerita satu kisah yang sangat memberi inspirasi.
Ada seorang budak perempuan di Arab Saudi yang mayatnya tidak hancur, walaupun sudah lebih dua tahun dia meninggal dunia. Ramai yang pelik kerana budak itu masih kecil, dalam umur 15 tahun. Jadi, ada yang pergi pada kedua ibu bapa budak itu dan bertanya, apakah amalan budak perempuan ini.
Ibunya menjawab, saya tidak tahu apa yang istimewa anak saya lakukan, cuma saya tahu dia sangat menjaga al-Quran. Setiap kali sebelum belajar, dia pasti akan baca satu muka surat ayat-ayat al-Quran, memang tidak pernah tinggal. Jadi, budak sekecil ini pun boleh baca satu muka surat setiap kali sebelum belajar, kita yang besar panjang ini mustahil tidak mampu bukan? Orang yang hebat tidak akan memberi alasan, tetapi dia sentiasa cari jalan.
3) Kembalikan caj-caj positif dalam diri supaya tiada ruang untuk Syaitan menghalang kita menuntut ilmu.
Apaila kita rasa tertekan kerana berkali-kali sudah membaca topik tersebut, tetapi tetap tidak faham, dan akhirnya, kita rasaputus asa dan terus tutup buku. Dan yang lebih bahaya, mind setting akan mengatakan topik ini sangat susah dan tidak menarik. Akhirnya, kita tinggalkan terus topik itu hingga akhirnya kelam kabut waktu menjelang peperiksaan.
Jadi, apa kata kita cuba tips daripada 'salafus soleh' terdahulu. Apabila ada sesuatu yang menghalang fokus, mereka pergi perbaharui wudhuk dan solat sunat dua rakaat.Jika kita seperti ini, sekurang-kurangnya dapat perbaharui wudhuk sudah memadai.
4) Utamakan seruan Allah S.W.T.
Part paling penting! Apabila sedang khusyuk study, tiba-tiba azan berkumandang. Berhentilah sebentar untuk menyahut seruan Allah S.W.T. Tidak lama pun solat ini. Jadikan ia sebagai terapi diri selepas penat belajar. Imam Ghazali ada mengatakan bahawa:
"Orang yang menyahut seruan azan dengan serta merta meninggalkan segala urusan untuk menunaikan solat berjema'ah, di akhirat kelak, dia akan dijemput oleh Allah S.W.T dengan penuh lemah-lembut dan menjadi tetamu-Nya."
Jadi, setiap kali rasa berat punggung mahu berhenti study untuk solat, ingat kembal, jika aku mahu dijemput oleh Allah S.W.T di Akhirat kelak, aku perlu utamakan solat dahulu daripada kerja lain. Mana kita tahu bukan, kita lagi rasa mudahapabila belajar selepas selesai solat itu. Inilah namanya berkat. Apabila kita utamakan Allah S.W.T daripada benda lain.
5) Jangan lupa membaca doa dan ambillah wudhuk sebelum mula belajar.
Doa mohon Allah S.W.T memberi kekuatan dalam menuntut ilmu. Apabila kita ada wudhuk ini, kita akan sentiasa ingat bahawa belajar ini adalah satu ibadah yang sangat dituntut dalam Islam dan memudahkan lagi untuk kita terus solat jika sedang belajar, tiba-tiba azan. Kita tidak tahu dengan wudhuk itu, kita belajar lebih berkat.
Doa mohon Allah S.W.T memberi kekuatan dalam menuntut ilmu. Apabila kita ada wudhuk ini, kita akan sentiasa ingat bahawa belajar ini adalah satu ibadah yang sangat dituntut dalam Islam dan memudahkan lagi untuk kita terus solat jika sedang belajar, tiba-tiba azan. Kita tidak tahu dengan wudhuk itu, kita belajar lebih berkat.
..............................................................................................
Kesimpulannya, selamat beramal. Cubalah praktis tips belajar ini, matlamat kita bukanlah cemerlang dalam belajar semata, tetapi kita juga mahu keberkatan daripada Allah S.W.T.
Ihfazillah yahfazka, ihfazillah tajidhu tijaahak (Jagalah Allah, nescaya Allah menjagamu).
Jadilah seperti Rasulullah S.A.W dan para sahabat yang hidupnya seimbang dunia akhirat, walaupun sibuk di medan perang dan sibuk mentadbir negara. Mereka lagi sibuk daripada kita, tetapi masih ada waktu untuk bangun tahajjud dan membaca al-Quran.
Buat pemburu dunia, jangan pula kita memberi alasan, mereka tidak sama macam kita, Iman mereka mantap kerana Rasulullah S.A.W ada di sisi. Kita tidak sehebat mereka. Andai itulah pemikiran kita, percayalah, selamanya kita akan menunduk ke bawah tanpa mendongak langit yang cerah di atas
8 Tips Mengelakkan Penangguhan
Masalah bertangguh atau dalam Bahasa Inggerisnya 'procastination' merupakan satu ancaman kronik bagi ramai umat Islam di Malaysia mahupun seluruh dunia.
Oleh kerana terbiasa dengan sikap bertangguh, sesuatu matlamat atau tujuan itu sukar untuk direalisasikan dengan sempurna dan cemerlang.
Berikut kami kongsikan tips untuk mengatasi masalah ini.
Pengurusan Masa: 8 Tips Mengelakkan Penangguhan
1. Kenal pasti sebab penangguhan sesuatu tugasan
Tanya kepada diri anda, adakah anda takut akan gagal dalam tugasan tersebut? Ataupun, anda seorang yang mementingkan kesempurnaan yang hanya akan memulakan kerja setelah semuanya selesai? Ataupun anda seorang yang mudah terganggu dan tidak fokus dalam melangsaikan sesuatu tugasan?
2. Kenal pasti tugasan anda dan bahagikannya kepada tugasan yang lebih kecil
Satu tips motivasi pernah dikongsikan, untuk makan
seeokor gajah, caranya adalah dengan memotong daging gajah itu kepada ketulan kecil daging.
seeokor gajah, caranya adalah dengan memotong daging gajah itu kepada ketulan kecil daging.
3. Letakkan tarikh akhir untuk tugasan anda
Cuba berikan tarikh dan masa untuk sesebuah tugasan. Contohnya, anda meletakkan matlamat untuk menghabiskan membaca sebuah buku dalam masa 1 minggu.
4. Bekerja dalam blok masa yang kecil tetapi kerap daripada bekerja dalam satu blok yang mengambil masa yang panjang
Contohnya apabila belajar, rehatlah sebentar selama 10 minit untuk setiap 1 jam atau 30 minit setelah belajar selama 2 jam.
5. Mulakan dengan tugasan yang mudah dulu
Ini bertujuan untuk memberi momentum kepada anda untuk bergerak. Hal lain seterusnya akan menjadi mudah kerana momentum yang sedia ada.
6. Mulakan dengan tugasan yang anda rasa sukar
Ini bercanggah dengan tips 5. Manfaat tips ini adalah untuk memberikan psikologi kelegaan kepada anda. Selepas anda berjaya menyelesaikan sesuatu tugasan yang sukar, anda akan merasa sangat selesa kerana merasakan sebuah beban telah berjaya dialih. Tips ini memberi kepuasan kepada diri.
7. Memberitahu orang lain tentang tugasan anda
Contohnya, anda memberitahu kepada orang lain bahawa anda akan menyiapkan sesuatu tugasan dalam tempoh yang ditetapkan. Ini akan menimbulkan rasa tanggungjawab di dalam diri anda untuk melunaskan tugasan tersebut.
8. Elakkan berada di tempat yang mampu mengganggu anda
Contohnya anda boleh memilih untuk belajar di perpustakaan atau tempat lain yang lebih sunyi jika anda bimbang anda akan leka dengan internet.
No comments:
Post a Comment