KANGAR, 4 April (Bernama) -- Tanggapan negatif terhadap Islam adalah antara cabaran besar dihadapi umat Islam kini, titah Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.
Baginda yang juga Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) bertitah tanggapan itu antara isu yang perlu ditangani secara menyeluruh termasuk oleh MAIPs.
"Tugas dan fungsi MAIPs semakin hari semakin besar dan mencabar dalam usaha menangani isu besar," titah baginda pada multaqa pegawai dan kakitangan MAIPs di Kuala Perlis dekat sini malam tadi.
Menurut baginda, cabaran lain ialah masalah perpecahan umat Islam dan isu murtad yang titah baginda antara langkah menanganinya menerusi perancangan strategik, memerlukan sumber tenaga berkualiti, prasarana kondusif dan program yang sistematik.
Titah Tuanku Syed Faizuddin, setiap agensi di bawah MAIPs perlu memperluaskan skop perkhidmatan supaya masyarakat melihat kesungguhan agensi yang benar-benar berperanan, releven dan cekap membangun umah dalam semua aspek.
Pada majlis itu kira-kira 100 orang pegawai dan kakitangan menerima anugerah perkhidmatan cemerlang dan ketrampilan MAIPs yang disampaikan secara bersama oleh Raja Muda Perlis dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.
Baginda turut menyerahkan sijil-sijil penghargaan kepada para wartawan yang selama ini memberi kerjasama terhadap program MAIPs.
Sumber -- BERNAMA
http://www.perlis.gov.my/index.php?option=com_content&view=article&id=628%3Atanggapan-negatif-terhadap-islam-cabaran-besar-kepada-umat&catid=49%3Aberita-terkini&lang=ms
No comments:
Post a Comment